Tuesday, 29 September 2015

Buku Tunai yang pertama


ENTRI 12 


TEKS: MUNIRAH YUSOFF

FOTO: MUNIRAH YUSOFF



Ini adalah BUKU TUNAI pertama saya, khas ketika saya memulakan bisnes tudung AIDIJUMA secara online. Sebelum itu, saya hanya catitkan segala pergerakan keluar masuk duit di buku nota biasa. Bila saya pindahkan semua catatan ke dalam BUKU TUNAI, memang lega sedikit mata saya melihat urusan tunai ini.

Walaupun sudah lama tahu kebaikannya semenjak belajar subjek akaun di sekolah menengah, tetapi saya tidak terlalu mengambil berat. Biasalah, kalau pintu hati sudah ‘tertutup’ dengan segala macam kiraan, imbang duga atau terma-termanya. :D

Bila mahu mula semula penggunaan BUKU TUNAI, barulah terkial-kial mahu belajar. Ada juga saya membeli buku akaun, itu pun buku SPM Prinsip Perakaunan. Sebab saya akui, kalau saya membeli buku akaun mengikut standard Universiti, makin pening dibuatnya. Bak kata seorang Dr. di dalam blognya yang saya ikuti “Kalau tahu ianya susah, kenapa nak ikut jalan yang akan menyusahkan lagi?” Maksudnya, cari jalan yang boleh membuatkan kita faham dan tidak membuatkan kita semakin sesat.

Sebenarnya BUKU TUNAI ini sudah lama beberapa bulan ‘tertutup’. Ada masa, tergendala dengan pengajian, tetapi kebanyakkan masa sebab tiada orang yang membeli. Sementara itu, saya masih lagi belajar sendiri mengenai akaun. Dan tengah mengumpul semangat serta simpanan sendiri untuk mengikuti kelas pengurusan akaun.


Nota kecil: Ambil inisiatif dengan belajar sendiri, tidak salah. Tapi kalau tanpa pengetahuan asas atau pemahaman yang mencukupi, mungkin ambil masa bagi sesetengah orang. Belajar dengan berguru mungkin hanya 2-3 bulan, tapi belajar sendiri boleh jadi lebih daripada itu. Mana yang anda mahu? J

Monday, 28 September 2015

Bisnes sekadar percubaan

ENTRI 11

TEKS: MUNIRAH YUSOFF

Saya menyertai salah sebuah butik berunsurkan kafe di Bangi selama dua bulan bermula Oktober hingga November 2014. Dengan menyewa slot kecil dan membayar RM 80 sebulan, saya meletakkan kebanyakkan novel preloved disitu. Diakui semasa saya ingin menyertainya, beberapa kali juga ibu bapa bertanya, jika ianya perlu. Kerana nekad juga, saya teruskan juga.

                Pada bulan pertama, saya mendapat pulangan sebanyak RM96 manakala pada bulan kedua sebanyak RM77. Nampak pulangan itu memberansangkan tetapi dengan sewa yang masih dikira mahal bagi saya yang tiada pekerjaan lain, saya tidak lagi menyambung kontrak itu.

                Selepas percubaan di Car Boot Sales dan di butik kafe, saya hanya menjual secara online. Dengan bantuan seorang rakan, saya membuat satu akaun Instagram. Pada mulanya saya tidak begitu memahami dengan cara penggunaannya, tetapi lama kelamaan saya mendapat hasil pulangan. Tidak terlalu terikat dengan sewaan, saya lebih gembira dan seronok.

                Sekadar mengikut trend semasa, saya tidaklah berbisnes sepanjang masa. Ada kalanya, saya berhenti sebentar dengan mementingkan dahulu pengajian. Malah, kerana kekurangan modal juga membuatkan bisnes ketika itu sebagai suka-suka.

Nota kecil: Menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR), saya menjadikannya sebagai trek awal dalam merancang bisnes dengan lebih teratur. Tidak salah berguru dalam menuntut ilmu biarpun kita merasakan diri sudah cukup dengan ilmu.

                

Tesis untuk Semester 6

ENTRI 10

TEKS: MUNIRAH YUSOFF
FOTO: MUNIRAH YUSOFF


Semasa mengambil subjek Research Methodology di awal semester pengajian, memang memeningkan kepala. Tanpa nota lengkap atau buku rujukan, dengan kelas seminggu sekali sahaja, saya membuat tajuk penyelidikan mengenai eCommerce.

                Nota yang saya dapat adalah ringkasan daripada pensyarah. Jadi apabila memulakan bab satu persatu, saya ikuti. Apabila siap, saya menghantar kepadanya untuk pembacaan. Setiap kali mendapat komentar daripada nya, saya gunakan untuk memperbaiki penyelidikan saya.

                Sekarang, saya sedang mulakan lebih awal proses menyelidik untuk projek Semester 6 nanti. Buku rujukan yang saya gunakan ialah:
  • Mastering Research Methods ( Chua Yan Piaw) - KINOKUNIYA, harga RM59
  • Writing With Sources – A Guidebook For Academic Writers (Krishnakumari, Nor Azni, Ahmad Mazli) - MPH Bookstore, harga RM29.90

Kedua-dua buku adalah tulisan orang tempatan, biarpun dalam Bahasa Inggeris tetapi struktur isi mudah difahami. Buku lain yang disarankan oleh rakan saya yang mengambil PhD adalah daripada karya Dr. Othman Talib iaitu Zero Draft of Thesis. Tetapi buat masa sekarang, saya mengikuti penulisan beliau di blognya, klik disini DROTSPSS .

                Harapnya saya tidak jauh tersasar dalam menyediakan kertas cadangan sebelum Semester 6 bermula. Dan semoga pensyarah yang saya mahu jadikan penyelia projek saya, dapat menerima cadangan yang saya lakukan nanti.
               
Nota kecil: Saya akan kongsikan nanti ringkasan mengenai penyediaan tesis berpandukan apa yang saya baca dan juga komentar daripada pensyarah (daripada projek yang saya buat).

Friday, 25 September 2015

Latihan Fizikal

Mini Gimnasium 

ENTRI 8


TEKS: MUNIRAH YUSOFF

FOTO: MUNIRAH YUSOFF


Semenjak saya menghabiskan pengajian di UNITEN pada 2010, jarang saya melakukan aktiviti yang melibatkan fizikal. Semasa di UNITEN, saya menyertai Silat dan inilah satu-satunya aktiviti yang paling saya suka. Selain dapat mengekalkan berat badan, ia dapat mengekalkan kecergasan kerana saya tidak melakukan aktiviti fizikal yang lain seperti berjoging.

          Tetapi semenjak 2011, saya tidak lagi menhadiri aktiviti Silat dan selain kerana komitmen semasa bekerja, saya jarang berjoging biarpun di kawasan perumahan ada disediakan kemudahan itu. Boleh dikatakan, kerana duduk dirumah ibu bapa, saya tidak terlalu memikirkan soal makanan, maklumlah sepanjang masa bekalan makanan tidak putus. :D

          Dan kini, saya akui berat badan sedikit naik dan ada beberapa helai baju dan seluar sedikit ketat. Malah kadang kala mudah letih dan pening kepala. Saya bukanlah seorang yang suka berjogig di kawasan perumahan tanpa teman. Di mudahkan keadaan, selepas ayah membeli threadmill, saya agak rajin untuk menggunakannya.
         
          Kebiasaannya, setiap sesi hanya 30 minit sehari kerana tidak mahu badan terlalu mengalami kejutan dan untuk mendapatkan rentak yang teratur. Saya juga mengawal pemakanan dengan mengurangkan pengambilan roti atau gandum dan tidak meminum air minuman 3 dalam 1 atau air manis. Ini antara punca yang menyebabkan berat badan saya mudah naik dan ‘kembang’.

          Apabila saya melakukan aktiviti fizikal, ditambah dengan pengawalan makanan, saya merasai badan semakin ringan dan tidak mudah letih. Malah seluar yang sebelum ini sedikit ketat, sudah longgar sedikit. Biarpun perubahan tidaklah terlalu mendadak, tetapi kesan nya tetap dirasai. Dan hati gembira bila badan sihat dan cergas.


Nota Hati: Saya masih meneruskannya dan nekad  untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

Pesta Buku Popular 2015

ALL RM 5 FIESTA


ENTRI 7



TEKS: MUNIRAH YUSOFF

FOTO: POPULAR SDN BHD, MUNIRAH YUSOFF


Ketika melihat poster ini di laman web Popular, saya tidaklah terlalu teruja untuk pergi kerana bukan peminat tegar buku-buku Bahasa Inggeris. Tetapi kerana suka melihat buku-buku, saya gagahkan juga diri untuk pergi kesana hari ini. Saya tidak kisah untuk membeli buku jika ia menarik minat saya.

         Agak besar juga kawasan pesta buku ini, dan sangat banyak buku untuk dilihat. Memandangkan saya jarang membaca novel-novel Bahasa Inggeris, saya hanya singgah di bahagian masakan, professional dan bisnes. Namun, tidak banyak yang buku yang menarik minat, jika ikut nafsu untuk membeli, pasti saya akan menyesal kemudian kerana tidak membaca.



            Hanya 2 buah buku sahaja dibeli, selebihnya alat tulis. Berbanding semasa saya pergi ke pesta buku BIG BAD WOLF, pada bulan April yang lepas, agak banyak juga buku yang dapat saya beli. Dengan membeli sekotak besar berharga RM99.90, dapat memuatkan hampir 30 buah buku, kebanyakkannya buku novel dan motivasi yang menarik dan berbaloi.

            Cuma, untuk pesta buku seperti ini, agak sukar untuk mencari buku berkaitan teknologi maklumat yang boleh dibeli. Jika ada pun, buku yang lama dan agak ketinggalan dengan teknologi terkini. Malah tidak berbaloi pun untuk membeli.

            Walau apapun, rasa nikmat membeli dan membaca buku yang di minati. Kadang kala hanya dengan buku, saya tidak kisah jika tidak menonton televisyen atau melayari Internet seharian.


Nota Hati: Membaca adalah terapi untuk saya mudah tidur apabila saya mengalami insomnia

Wednesday, 23 September 2015

Kisah Car Boot Sales

ENTRI 5

TEKS: MUNIRAH YUSOFF

FOTO: MUNIRAH YUSOFF


Saya menyertai Car Boot Sales yang pertama pada 21 September 2014 di Danau Kota, Setapak bersebelahan dengan tapak pasar pagi. Bertemankan dengan seorang rakan sekerja, saya mencuba nasib dengan menjual sedikit pakaian dan novel terpakai. Jujurnya saya tiada pengalaman untuk berniaga, apabila lagi untuk berhadapan dengan pelanggan secara berdepan sebegini.

                Tempat menyusunan buku serta menyangkut pakaian pun menggunakan apa yang saya ambil dari rumah. Tiada pengurusan yang betul-betul dibuat kerana kami menyertai pada saat-saat akhir. Bagi saya yang mempunyai sifat segan dan agak penakut untuk memulakan bicara pada orang yang tidak dikenali, inilah cabaran yang ingin saya lakukan.

                Permulaan pagi itu, tidaklah ramai orang kerana tapak ini baru sahaja digunakan untuk program Car Boot Sales. Jika ada pun, kebanyakkannya hanya setakat singgah sebentar, melihat dan berlalu begitu sahaja. Hampir sejam lebih, rakan saya sudah dapat menjual beberapa helai pakaiannya. Ketika itu, saya juga ada pelanggan yang berpotensi untuk membeli novel saya, namun dia agak ragu-ragu sama ada novel yang ingin dibeli, sudah ada dalam simpanan dia atau tidak. Tetapi kerana ragu-ragu, dia tidak jadi untuk membeli.

Waktu itu, saya agak kecewa juga. Peluang untuk saya mengurangkan novel yang makin menimbun seperti tidak berhasil. Hampir ke jam 11 pagi, kerana matahari panas semakin terik, ada peserta Car Boot Sales sudah mengemas barang dan balik. Tergugat juga rasanya, malah kami pun berkira-kira untuk balik. Cuma yang menghalang kami dari bergerak balik adalah kesabaran untuk menanti lagi pelanggan yang mungkin akan membeli pada saat-saat akhir.

Dan ianya berbaloi kerana tidak sampai 20 minit, ada seorang pelanggan yang berminat dengan novel saya. Daripada harga RM10 sebuah, dia meminta RM7 sebuah supaya dia boleh membeli dengan banyak. Dengan pantas, tanpa berfikir panjang dan tanpa merancang dengan baik, saya terus meletakkan harga RM5 sebuah.

Dengan gembira, pelanggan tersebut terus membeli 10 buah buku. Biarpun di dalam hati terasa ralat kerana terlalu cepat meletakkan harga dengan murah, tetapi pulangan RM50 untuk kali pertama berniaga, adalah sesuatu yang sangat seronok. Saya dan rakan saling berbicara ‘Jangan terlalu mudah untuk putus asa apabila melihat orang lain sudah balik. Jika kita balik, sudah pasti balik dengan tangan kosong.’

Inilah pengalaman yang saya kira, memberi peluang kepada diri sendiri merasai jerih perit orang berniaga. Memupuk sifat kesabaran di dalam berinteraksi dengan pelanggan dan memahami pelbagai kerenah serta kehendak pelanggan.


Nota Hati: Tanpa langkah pertama, saya tidak akan merasai apa yang perlu saya hadapi. Malah akan membuatkan saya masih di takuk lama. Orang kata ‘Buatlah perkara yang boleh membantu diri sendiri biarpun terdapat orang yang mahu menjatuhkan semangat anda’.

Menjalani Latihan Siswazah (2)

Penempatan Pekerjaan (6 bulan)

ENTRI 4


TEKS: MUNIRAH YUSOFF

Selepas menjalani latihan insaniah (softskills) di Perak, saya ditempatkan pula di sebuah syarikat bertaraf MSC iaitu Time Engineering Berhad (TEB) di Cyberjaya selama 6 bulan. Sekali lagi saya masih berbelah bahagi kerana Cyberjaya bukanlah tempat pilihan untuk saya bekerja. Jika saya berulang alik dari Gombak ke Cyberjaya, perjalanan sehala sahaja sudah mengambil masa 50 minit hingga ke 1 jam. Itu tidak lagi termasuk dengan kesesakan lalu lintas. Tetapi, saya teruskan jua untuk bekerja di sana dengan menyewa di Putrajaya.

            Semasa di TEB, saya diselia serta diberi tunjuk ajar mengenai selok belok pengurusan projek (project management) terutamanya untuk dokumentasi. Biarpun keutamaannya adalah urusan Pengurus Projek, tetapi saya akan membantu dari segi memastikan setiap senarai yang diterima, disimpan dengan rapi serta lengkap. Walau tidak berkaitan secara langsung dengan Ijazah yang dimiliki, tetapi ia telah memberi gambaran secara kasar bagaimana sesebuah projek dijalankan.

            Hampir 6 bulan di TEB, saya ditawarkan oleh Ketua Jabatan untuk menyambung kontrak di sana. Kontrak selama 1 tahun iaitu Youth Employment Scheme (YES) Trainee Program, diterima dengan hati separuh rela.

Bergelar seorang pelatih lagi, untuk satu jangka masa yang panjang bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Beberapa kali saya dan rakan pergi ke sesi temu duga untuk mencari pekerjaan yang tetap atau secara kontrak. Kadang kala di waktu kami berputus asa dengan keadaan di pejabat, Ketua Jabatan tetap memberikan kami semangat agar bertahan dan menasihati supaya berfikir panjang baik buruk sebelum menerima sesuatu jawatan. Dan kami masih gagah lagi di sana.
Sebelum tamat kontrak 1 tahun, saya ditawarkan untuk ke Jabatan lain (DagangNet Sdn Bhd- salah satu anak syarikat Khazanah) dengan jawatan Careline Agent. Di sini, tugasannya lebih kepada menerima panggilan pelanggan yang menghadapi masalah dalam penggunaan laman sesawang (website) – melibatkan urusan kastam atau kargo di pelabuhan. Tetapi saya tidak bertahan lama disitu kerana tidak mahu terus berada lama sebagai Helpdesk. Kerana inilah, saya menyahut saranan ibu dan ayah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah.


Nota Hati: Ketua Jabatan ada membuat penilaian terhadap saya - meningkatkan lagi kemahiran dalam penyampain dan komunikasi, kemahiran menulis dan penulisan laporan serta menambahkan pengetahuan teknikal. Kini, saya mengambil saranan itu secara serius, disamping melanjutkan pengajian secara formal, saya mengikuti kelas yang dianjurkan oleh Akademi Bekerja Dari Rumah (ADBR).

Tuesday, 22 September 2015

Menjalani Latihan Siswazah (1)

Latihan Insaniah (softskills) - 2 bulan

ENTRI 3


TEKS: MUNIRAH YUSOFF
FOTO: MUNIRAH YUSOFF





Saya mengikuti Program Latihan Siswazah anjuran TalentCorp iaitu Graduate Employability Management Scheme (GEMS) pada awal 2012 selama 8 bulan. Ia merangkumi latihan kemahiran insaniah (softskills) selama 2 bulan manakala baki 6 bulan lagi untuk penempatan pekerjaan (on-job-placement).

          Latihan kemahiran insaniah (softskills) bagi kumpulan (batch) yang saya ikuti, FRT06C   adalah di Felda Residence Trolak, Sungkai, Perak. Memandangkan saya mempunyai perspektif bahawa kawasan Felda berada jauh dari bandar serta tiada kemudahan yang bagus, saya hampir-hampir menolak tawaran ini. Malah waktu itu langsung tiada usaha untuk saya mencari maklumat mengenai penempatan di situ.
         
          Apabila saya bercerita mengenai tawaran ini kepada kakak, dia mahu saya memberi peluang kepada diri sendiri, memandangkan program ini akan memberikan penempatan pekerjaan. Dengan bantuan abang ipar (suami kakak) yang berasal dari Perak, dia memberitahu bahawa kawasan Felda Residence Trolak berdekatan dengan beberapa pekan (Slim River, Tanjung Malim serta Bidor), mudah untuk keluar masuk kerana berada di laluan jalan besar. Malah pada hari pendaftaran, mereka menunjukkan jalan untuk pergi ke sana (saya membawa kereta sendiri untuk kemudahan saya bergerak apabila berada di sana).

          Semasa sampai di Felda Residence Trolak, sekali lagi saya hampir berputus asa dan hilang semangat kerana melihat pondok-pondok lama, yang boleh dilihat dari luar sebelum memasuki pintu kawalan keselamatan. Tetapi kakak saya memujuk untuk melihat dahulu tempat pendaftaran, bagi nya tidak mungkin tempat penginapan yang disediakan sebegini rupa. Dan sememangnya saya berasa lega ketika sampai di tempat pendaftaran kerana tidak menyangka Felda Residence Trolak menyediakan tempat yang khusus bagi mana-mana pihak yang ingin menjalankan program.

          Disini, kami banyak melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan kemahiran berfikir, penyampaian hujah serta pengurusan projek. Pengurusan projek sememangnnya akiviti yang memenatkan kerana setiap minggu kami mempunyai projek yang berlainan dan kami perlu menguruskannya sendiri, daripada menyediakan kertas kerja, mencari dana hingga ke post-mortem (bagi mencari kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki supaya tidak diulangi untuk projek yang seterunya).

          Bagi saya, program seperti inilah yang banyak memberi manfaat kepada lepasan siswazah untuk fokus kepada kemahiran yang jarang diperolehi semasa di Universiti. Walaupun semasa di Universiti mempunyai aktiviti-aktiviti luar, namun ianya jarang sekali mempunyai persamaan dengan apa yang diperlukan di luar. Dan saya masih berharap untuk menyertai lebih banyak latihan siswazah bagi mengisi waktu kekosongan

          Di waktu yang lain, saya akan berkongsi mengenai penempatan pekerjaan di salah satu syarikat yang berstatus MSC. Pengalaman yang bagi saya sukar untuk diperolehi dan diulang kemabali malah ia meninggalkan kesan yang mendalam biar pun saya tidak lagi berada di sana.

Nota Hati: Saya masih lagi merindui ‘tempat jatuh lagi kan di kenang’ itu, namun sudah tertakluk bukan rezeki saya untuk berada lama di sana.

Monday, 21 September 2015

Impian Untuk Bekerjaya

ENTRI 2

TEKS: MUNIRAH YUSOFF

Mempunyai pekerjaan sejurus tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pada akhir 2010 merupakan impian yang saya ingin kecapi.  Malah, semasa sedang menyiapkan Projek Akhir Tahun lagi, saya dan rakan-rakan berusaha mencari pekerjaan. Namun, sehingga ke majlis graduasi pada Oktober 2011, di antara saya dan rakan-rakan yang rapat, saya sudah ketinggalan jauh tanpa pekerjaan yang diingini. Pada masa yang sama, hanya satu pekerjaan sahaja yang saya dapat melalui saranan kakak ipar di mana di tempat kerjanya sedang melakukan projek berkaitan kesihatan rakyat di Malaysia.

            Biarpun sudah beberapa kali menjalani sesi temuduga (kebanyakkan yang saya minta melalui Jobstreet.com), tetapi masih gagal untuk mendapatkan pekerjaan. Sehingga di satu sesi temuduga, hati saya tersentap dengan pertanyaan seperti ‘Kamu sudah hampir setahun tamat belajar, tetapi tiada langsung pengalaman kerja. Mengapa?.’ Ataupun ‘Kamu lulusan dari UNITEN, anak syarikat TNB, mengapa kamu tidak memohon kerja disitu?.’

            Persoalan-persoalan itu masih lagi saya hadapi hingga sekarang, malah hampir setiap temu duga. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada menyoal diri sendiri ‘Mengapa susah sangat saya mahu dapatkan pekerjaan? Kenapa rakan-rakan lain mudah dan cepat sahaja mereka dapat?’. Hinggakan apabila orang sekeliling menyoal, saya mudah berkecil hati.

            Boleh dikatakan hampir setahun setengah saya menganggur (tidak termasuk semasa saya bekerja kontrak selama 3 bulan di tempat kerja kakak ipar). Pada ketika saya masih bergelut untuk mencari pekerjaan, saya menerima tawaran untuk menyertai Latihan Siswazah iaitu GEMS (Graduate Employability Management Scheme) pada Februari 2012. Di sinilah bermulanya kerjaya saya dan mampu untuk menambahkan lagi maklumat di dalam resume.

            Insya-Allah pada entri yang akan datang, saya dapat memberikan sedikit sebanyak pengalaman sepanjang menjalani Latihan Siswazah selama 8 bulan iaitu 2 bulan latihan insaniah dan 6 bulan penempatan pekerjaan.

Nota Hati: Saya berharap yang saya tidak akan putus harapan terhadap rezeki yang Allah kurniakan.Malah saya akan lebih berusaha dan berdoa supaya Allah memudahkan perjalanan hidup saya untuk tidak lagi membuat ahli keluarga saya susah hati.

Sunday, 20 September 2015

Peperiksaan Akhir Semester 5

ENTRI  1

TEKS: MUNIRAH YUSOFF


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Hari ini merupakan peperiksaan akhir, juga merupakan subjek yang terakhir untuk pengajian saya (Ijazah Sains Komputer). Seperti biasa, bagi seorang pelajar, perasaan lega kerana sudah selesai menjawab soalan adalah sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi, pada masa yang sama, risau dengan keputusan yang akan keluar. Saya juga tidak terlepas jikalau keputusan tidak memberangsangkan, tetapi Alhamdulillah sehingga kini masih bertahan dengan keputusan yang baik.

        Kebiasaannya, cuti semester berlangsung hampir sebulan dan keputusan peperiksaan akan keluar dalam masa seminggu sebelum semester baru bermula. Pada waktu cuti inilah, saya mengambil kesempatan untuk mencari maklumat-maklumat berkaitan dengan projek penyelidikan yang sesuai dengan pengajian saya. Malah, saya akan mengemaskini nota-nota atau buku-buku pengajian supaya mudah untuk rujukan pada masa hadapan. 

    Dengan terus menerus membaca sambil meningkat kemahiran teknikal seperti pengaturcaan (programming) dan sistem rangkaian (system networking), memudahkan saya untuk mengetahui hala tuju kemahiran serta kerjaya yang boleh saya perolehi. Kadang kala, jika bergantung pada guru semata-mata tetapi tiada usaha untuk berdikari, tidak berguna juga. Ini kerana, jika tidak tahu dimana kelemahan diri sendiri, mana-mana guru pasti mengalami kesukaran untuk mengajar.  Saya tidak mahu lagi bergantung pada guru tanpa melakukan dahulu apa yang sepatutnya saya lakukan.

      Jadi, pada semester 6 ini, sambil menyiapkan projek penyelidikan, saya juga berharap untuk dapat menyiapkan satu laman web yang asas sebagai nilai tambahan didalam resume. Saya tidak mahu lagi memberi alasan bahawa pengaturcaraan bukan bidang saya. Tetapi saya mahu ia menjadi salah satu kemahiran yang mampu untuk saya ajarkan pada seseorang biarkan secara asas sahaja. Insya-Allah.


Sunday, 13 September 2015

Pengenalan Diri

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah dengan izin Allah serta nekad di hati, dapat juga saya merasmikan blog ini untuk dijadikan medium berkongsi maklumat dan pengalaman sepanjang saya bergelar pelajar Universiti dan sewaktu bekerja. Biar pun pengalaman serta ilmu yang dimiliki tidak sebesar mana, tetapi Insya-Allah, boleh menjadi sesuatu yang berguna kepada pembaca sekalian.

      Sebagai pengenalan diri, saya Munirah Bt Yusoff berasal dari Gombak, Selangor. Merupakan anak bongsu daripada lima beradik, saya adalah satu-satunya anak yang bersekolah biasa bermula di Sekolah Rendah Gombak Setia (1993-1998), Sekolah Rendah Agama Taman Melewar (1993-1998) dan kemudian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Seri Gombak (1999-2003).

     Selepas tamat peringkat SPM, saya menyambung pengajian Diploma di Kolej Islam Antarabangsa (2004-2007) dalam bidang Teknologi Maklumat. Kemudian meneruskan pula ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem dan Rangkaian) (2007-2010) di Universiti Tenaga Nasional, Bangi. Kini, saya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sains Komputer di UNITAR International University dan sedang menjalani peperiksaan akhir semester 5. Insya Allah saya akan menyelesaikan pengajian dengan 1 projek penyelidikan pada semester 6 sebelum bergraduasi.

     Sementara menyelesaikan pengajian, saya berjinak-jinak di dalam bisnes. Saya bermula dengan menjual tudung Aidijuma secara online. Namun, kerana kekurangan modal untuk menyediakan stok  setiap kali pengeluaran, serta kurang pengalaman dan pengetahuan yang meluas dalam menguruskan akaun,saya mengikut pendapat beberapa tokoh motivasi perniagaan untuk menjual apa yang ada di dalam ‘tangan’. Disinilah saya bermula dengan menjual novel-novel lama di Instagram. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan ruang dan hasil jualan saya gunakan untuk membeli buku rujukan.

     Semangat untuk menambahkan ilmu pengetahuan di dalam bisnes dan nekad untuk tidak bergantung harap pada ahli keluarga, saya di ketemukan dengan Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) melalui seorang kenalan. Malah dengan cara inilah, saya mahu berusaha untuk mengembangkan kemahiran serta mempunyai bisnes yang tersendiri.

     Dengan perkongsian di blog ini, semoga ia bermanfaat buat setiap pengunjung yang membaca serta menambah kenalan untuk sama-sama berkongsi pandangan. Selamat membaca dalam selamat berkenalan.